Budaya berhutang sudah menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat kita. Perkara ini berpunca dari sikap kita yang suka berbelanja melebihi kemampuan kewangan semasa. Biarpun tidak mempunyai wang, namun keinginan membeli masih ingin ditunaikan. Jika dahulu hanya golongan miskin yang biasa dikaitkan dengan hutang. Namun, hari ini golongan berada dan sederhana juga terbabit dengan hutang. Orang miskin berhutang untuk memenuhi keperluan hidup yang terdesak, sedangkan golongan kaya berhutang untuk bermewah mewahan bagi mengumpul harta seperti membuat pinjaman untuk membeli saham dan sebagainya.
Berdasarkan kepada laporan daripada Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan kepenggunaan seramai 38,357 orang menjadi muflis akibat berhutang dengan menggunakan kad kredit. Begitu juga dengan laporan daripada Jabatan Insolvensi baru-baru ini bahawa 25% daripada 116,379 kes yang di rekodkan semenjak tahun 2005 adalah merupakan mereka yang tidak mampu membayar hutang sewa beli kenderaan dan sebanyak 15,299 kes tidak mampu membayar pinjaman peribadi yang menjadi punca kebankrapan rakyat di negara ini.
Persoalan besar timbul mengapakah amalan ini berlaku ?Ada yang bergaji kurang daripada 2,000 ringgit tetapi bebelanja melebihi kadar pendapatannya.
Islam melarang dan menegah umatnya daripada membazir kerana ianya perbuatan keji. Islam menyifatkan pembelanjaan boros dan pembaziran adalah perbuatan keji kerana ia tidak memberi faedah kepada masyarakat dan menjauhkan lagi jurang golongan kaya dan miskin. Jika dasar berhemah ini di ambil kira, maka hak-hak serta kebajikan orang-orang fakir dan miskin dapat ditunaikan sepanjang masa. Sesungguhnya orang yang membazir adalah saudara syaitan dan syaitan amat suka kepada orang yang boros dan bebelanja mengikut kehendak nafsu. Firman Allah SWT di dalam surah al-Israk ayat 27:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”.
Ibn Mas’ud dan Ibn Abbas RA mentafsirkan ayat ini, bahawa pembaziran itu bermaksud perbelanjaan atau mengunakan harta benda bukan pada tempatnya yang sebenar. Begitu juga dengan pandangan Imam Syafie bahawa pembaziran itu ialah membelanjakan harta benda bukan pada jalannya.
Dalam Islam, hutang merupakan suatu amanah besar yang wajib dilunaskan, ia bagi memenuhi tuntutan dan menjamin hak sesama manusia. Kegagalan menyempurnakan hutang bermakna menafikan hak sesama manusia yang pastinya mengundang kemurkaan Allah SWT. Berdasarkan kepada maksud ayat 23 hingga 39 surah Al-Isra’, jika seseorang tidak membayar hutang, tiba-tiba ia meninggal dunia maka langit dan bumi tidak akan menerima rohnya walaupun roh itu milik seorang yang berjihad.
Dalam sirah Rasulullah SAW pernah Baginda duduk semasa jenazah diletakkan dihadapan Baginda untuk disembahyangkan. Baginda SAW mengangkat kepalanya ke langit, kemudian menundukkan pandangannya dan meletakkan tangannya di atas kening dan bersabda: “Subhanallah… subhanallah, betapa beratnya yang diturunkan.” Seorang sahabat Ibn Jahsh berkata, “Kami memperhatikan keadaan Rasulullah itu tetapi kami diam, sehinggalah keesokan harinya saya bertanya kepada Baginda, “Apakah keberatan yang diturunkan itu?” Rasulullah lalu menjawab, “Hutang! Demi Tuhan yang jiwaku berada di tangan-Nya, jikalau seseorang terbunuh di jalan Allah, kemudian hidup, kemudian terbunuh, kemudian hidup, kemudian terbunuh, sedangkan ia mempunyai hutang, maka dia tidak akan masuk syurga sehingga dia menunaikan hutangnya.” (RiwayatAn-Nasai).
Sabda Rasulullah SAW:
Bermaksud: “Kurangkanlah dirimu daripada melakukan dosa, maka akan mudahlah bagimu ketika hendak mati. Kurangkanlah dirimu daripada berhutang nescaya kamu akan hidup bebas.” (Riwayat al-Baihaqi)
Amalan berhutang tidak sepatutnya dijadikan budaya dalam masyarakat kerana akan timbul banyak keburukan. Apa yang jelas, pengurusan wang secara bijak memberi kesinambungan hidup kita bagi tujuan hayatan tayyibah (kehidupan yang baik) serta bebas dari cengkaman hutang. Langkah mengurus kewangan secara berkesan dapat membimbing kita ke arah matlamat yang diidamkan dan membuktikan penghargaan kita terhadap sumber kewangan yang sedia ada selain menjamin keselamatan diri daripada kefakiran dan kekufuran. Mimbar ingin menegaskan bahawa agama Islam telah menetapkan beberapa peringkat keperluan bagi umatnya:
Pertama al-Dharuriat iaitu keperluan yang mendesak,
Kedua: al-Hajiaat iaitu keperluan yang dihajati,
Ketiga: al-Thasiniat iaitu keperluan yang lebih baik dan
Keempat: al-Kamaliat iaitu keperluan yang lebih lengkap.
Namun begitu, dalam mengurus kehidupan kita, Islam mewajibkan kita mengatur perbelanjaan kepada perkara-perkara asas dan keperluan yang benar-benar mendesak iaitu al-Dharuriat seperti makanan dan minuman, tempat tinggal, pakaian dan pelajaran.
Menurut Iman as-Syatibi bahawa: “Al-Dharuriat adalah sesuatu yang harus dilakukan agar mendapat kemaslahatan di dunia dan akhirat, jika al-Dharuriat ini tidak dilaksanakan maka kemaslahatan itupun tidak akan ada tetapi yang akan timbul adalah kerosakan, kesengsaraan dan kerugian yang besar.”
Dalam hal ini juga Prof. Dr. Yusuf Qardhawi ada mengatakan bahawa: “Sebahagian umat Islam kini kerap mendahulukan perkara yang kurang penting berbanding perkara yang penting. Perkara penting adalah urusan-urusan wajib yang termaktub dalam syariat Islam. Antara perkara tersebut ada yang besar, penting dan utama dan ada pula yang kecil, ringan, kurang penting dan kurang utama iaitu asasi, cabang (furu’), dan rukun.”
Pesan ini diri sendiri dan semua...aku ingin menjadi antara kalian yang dapat masuk ke syurga Allah..
No comments:
Post a Comment