BERAT badan mencecah 587 kilogram (kg) kedengaran melampau dan luar biasa. Namun, itulah catatan yang rekodkan Guinness World Records untuk lelaki paling gemuk di dunia, Manuel Uribe pada tahun 2007.
Disebabkan berat badan itu, Uribe yang berasal dari Monterrey, Mexico, terpaksa menghabiskan masa selama 14 tahun di atas katil yang direka khas untuk memudahkan dia bergerak.
Keadaan ini menyebabkan Uribe tekad untuk membuang sejumlah lemak yang terkumpul dalam badannya kepada 394kg.
Walaupun bersaiz gergasi dan tidak berpenampilan menarik, masih ada wanita yang mahu menjadi kekasihnya iaitu Claudia Solis.
Mereka berkahwin pada tahun 2008 semasa Uribe berusia 43 tahun manakala Claudia 38 tahun.
Perkahwinan itu mendapat liputan meluas media sehinggakan sebuah stesen penyiaran Amerika Syarikat sanggup membeli hak penyiaran majlis itu yang dihadiri 400 orang tetamu.
Malangnya, pertambahan berat badan Uribe mula menjejaskan hubungan mereka suami isteri.
"Saya sangka perkahwinan ini akan kekal. Namun, akibat berat badan saya yang bertambah hari demi hari, Claudia meminta cerai. Perkara tersebut menyebabkan saya semakin murung," cerita Uribe.
Normal
Semasa zaman remaja, berat badan Uribe agak normal iaitu 113kg. Bagaimanapun, pada tahun 1992, berat badannya meningkat.
"Saya tidak tahu macam mana berat badan saya boleh naik dan tiada langsung menunjukkan tanda-tanda akan turun sedangkan saya makan sama macam orang normal.
"Seperti kebanyakan penduduk Mexico yang lain, saya makan makanan yang sama seperti mereka, contohnya hamburger, kentang goreng, piza, kacang, nasi dan makanan tradisi Mesico, iaitu jagung tortila," katanya.
Jelasnya, keadaan tersebut berlaku mungkin disebabkan jenis pekerjaannya ketika itu.
"Saya bekerja sebagai juruteknik. Tugas saya hanya membaiki mesin taip dan komputer.
"Jadi, aktiviti harian saya sekadar duduk di atas kerusi dan tidak banyak melakukan pergerakan," katanya.
Kegemukan tersebut mula melarat pada tahun 2002 hinggakan dia sekadar dapat berbaring di atas katil. Dia terpaksa bergantung kepada ibu dan rakan-rakannya untuk memberinya makanan selain membersihkan badan.
Pada 2 Mei lalu, Uribe dikejarkan ke hospital akibat masalah kesihatan yang berpunca daripada kegemukannya.
Pada masa itu, Uribe berada di atas katilnya di rumahnya di bandar San Nicholas, Monterrey.
Disebabkan berat badannya, dia terpaksa diangkut menggunakan sebuah kren dengan bantuan pekerja-pekerja daripada perkhidmatan kecemasan dan pasukan pertahanan awam Mexico.
Obesiti
Begitupun, Uribe meninggal dunia Selasa lalu pada usia 48 tahun.
Menurut seorang pegawai di Hospital Universiti Monterrey, laporan awal menunjukkan Uribe meninggal dunia akibat masalah kadar degupan jantung yang tidak teratur dan penyakit berkaitan dengan kehilangan cecair pada kedua-dua belah kakinya.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Pemakanan dan Dietetik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Roslee Rajikan berkata, lazimnya kegemukan terjadi berpunca daripada pengambilan makanan yang tidak bersesuaian dengan aktiviti harian dan juga ketidakstabilan emosi seseorang.
"Seseorang perlu peka dengan pengambilan makanan harian supaya bersesuaian dengan aktiviti yang dijalankan.
"Ini kerana jika kalori yang diambil tidak dibakar, ia akan tersimpan menjadi lemak dan lama-kelamaan akan memudaratkan kesihatan seseorang," katanya.
Jelasnya, seseorang juga tidak digalakkan mengambil makanan ketika emosi mereka tidak stabil kerana perkara tersebut mendorong seseorang mengambil makanan lebih daripada kuantiti yang diperlukan.
"Indeks jisim badan normal adalah antara 20.7 hingga 26.4, manakala 26.5 dan ke atas dikategorikan sebagai gemuk dan obesiti.
"Bagaimanapun, dalam kes lelaki Mexico ini, dia bukan sahaja mencapai tahap obesiti, malah dikategorikan sebagai morbid obesiti iaitu kegemukan yang mengancam nyawa," jelasnya.
No comments:
Post a Comment